MERDEKAKU
Merdekaku,
Kakunya gerak generasiku,
Kaku akal, kaku hati, kaku pekerti,
Hari keramat hanya dilaung bukan dihayati,
Terkinja menari bukan lagi menyulam budi,
Terlompat menjerit bukan lagi kenal pengorbanan yang perit.
Merdekaku,
Anak hari ini ketawa kerana moyangnya pernah berduka,
Rumah hari ini selesa kerana dulunya sudah pernah dinoda,
Dinoda bukan sehari, bukan sepurnama, lima ratus tahun lamanya,
Moyang kita berjuang lara demi anak cucunya hidup gembira,
Pahlawan bangsa serahkan nyawanya demi tanah ini tercinta,
Negarawan kita berkerat jiwa agar pulangnya bumi ini merdeka.
Merdekaku,
Musuh hari ini tidak sama yang dulu,
Matlamat tetap satu, tapi susupnya halus ke kalbu,
Dicincang air ini agar putus tidak bertemu,
Dicarik ukhwah bangsa agar berlaga kita sesama,
Dinyalakan roket durjana demi memukau bangsa merdeka,
Dicelaru minda anakanda agar tanah ayahanda terlepas semula.
Merdekaku,
Sedarlah rakan generasiku masa ini bukan untuk terus terkaku,
Lembutkan hatimu berjuang demi bangsa yang satu,
Semarakkan jiwamu pertahankan Negara ini bukan membisu,
Bersatu, bersatu, dan terus bersatu,
Jangan kita khayal kerana kerusi emas sudah tersedia,
Jangan kita leka kerana tilam empuk nyenyakkan tidurnya,
Kerana, tanah ini tinggi nilai jiwanya, kerana tanah ini sudah cukup tersiksa,
Kerana tanah ini milik kita – tanah kita tanah ku, negara kita negara ku, merdeka kita merdeka ku...!

p/s: lagu Berdua Bersatu (Fourteen) dok berdesir kat telinga dlm 1mggu ni... cis.
0 comments:
Post a Comment